Keturunan Syeikh Ahmad Al-Zabidi

Hj Mohd Shafie Losong
















Seperti yang telah disebut sebelum ini, sejumlah besar keturunan Syeikh Ahmad Al-Zabidi bermastautin di Kedah seperti di Tanjung Maseri Alor Setar, Merbok, Kuala Kangkong, Langgar, Sungai Kedak dan Yan. Di Terengganu pula, sejumlah besar mereka menetap di sekitar Losong Haji Mohd Shafie (Hj Mohd Shafie Losong adalah cucu kepada Tok Subuh Abdul Rahman) yang berhijrah ke Terengganu untuk belajar dari Tokku Paloh (Syed Abdul Rahman Al-Idrus) dan terus berumahtangga dan membuka pengajian pondok di Losong, Kuala Terengganu. Kampung tersebut dikenali sebagai Losong Haji Mohd Shafie sehingga sekarang.

Hj Mohd Shafie hidup sezaman dengan Tok Kenali Kelantan. Tok Kenali pernah berkata: "Tidak ada orang lain (di zaman itu) yang lebih dalam ilmu tasawwufnya dari Hj Mohd Shafie Losong"



Ketokohan Hj Mohd Shafie

Hj Mohd Shafie Losong terkenal sebagai ulama yang sangat warak dan penuh dengan kekeramatan. Sewaktu Terengganu dilanda kemarau pada awal kurun ke-20, pemerintah Terengganu akan bertanya kepada  beliau di mana tempat yang perlu digali perigi kerana tempat yang ditunjukinya biasanya akan mempunyai air.

Beliau selalu berjalan dalam keadaan tunduk bagi menundukkan pandangan dari aurat wanita.  Di sebelah rumah beliau terdapat sebuah pondok kecil tempat beliau bermuqorrobah dengan Allah swt. Beliau adalah pengamal Tariqat Syatariah. Isteri beliau Allahyarhamah Hajjah Su pernah menceritakan di akhir-akhir hayat beliau, Hj Shafie begitu asyik berzikrullah sehingga kadangkala beliau lupa untuk makan, lalu disuap makanan oleh isteri beliau. Begitulah gambaran seorang ulama kekasih Allah. . Sewaktu penaklukan Jepun beliau dilihat menghembus sesuatu ke arah kapal terbang Jepun dan bom tentera Jepun tidak jatuh di sekitar tempat beliau menetap. Beliau pulang ke rahmatullah pada tahun 1947. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Dipetik daripada :
http://alzubaidinusantara.blogspot.com

SALASILAH SYAIKH AHMAD ZABIDI AL-YAMANI